Tuesday, November 22, 2011

Monolog Si Tukang Kasut dan Si Gadis Berbaju Biru.







Tukang Kasut
Ini kisah si tukang kasut. Bukan kisah kamu, kamu atau kamu. Ini kisah hidupnya, hatinya, fikirnya. Setiap hari tukang kasut membuka gerai dengan hati yang lapang. Doanya cuma mahu menjalani hidup dengan tenang, mendapat pendapatan dengan cara yang halal sehalal halalnya.




Kasut pelanggan digilap cermat dan kemas. Upahnya dimasuk poket. Senyumnya terukir. Itu cara hidupnya sehari - hari. Dia tidak fikir berapa banyak insurans yang perlu diambil, dia tidak ada potongan KWSP, dia tidak tahu apa itu PTPTN.





Sungguh tukang kasut tidak mengerti itu semua.
Yang dia tahu cuma kasut, bentuknya.
Bau kasut?
Ah, yang itu pun dia tahu juga =)





Sungguh pun naifnya tukang kasut, tapi dia juga tahu sesuatu.
Soal hati. Soal jiwa.
Acapkali seorang gadis cantik yang selalu berbaju kurung biru melewatinya, dia akan melemparkan senyum.
Kasut si gadis baju biru selalu ditenung lama.
Alangkah indahnya jika dapat menyentuh kasut si gadis, bisiknya.
Harapnya agar sepatu si gadis rosak dan mereka dapat bicara.




Malangnya ia belum berlaku.
Dan mungkin juga tidak akan berlaku.
Sedih?
Ya. Itu perkara biasa bagi tukang kasut.
Lohong hitam di hatinya akan kekal sebegitu.






Gadis Berbaju Biru
Hari - hari yang dilalui tetap sama.
Jalan yang sama.
Orang yang sama.
Dan eh si tukang kasut yang sama!




Gadis tidak kisah akan tukang kasut.
Jika dilempar senyuman, gadis berpura - pura tidak nampak.
Jika direnung, gadis menoleh ke arah lain.
Jika disapa lembut, gadis membalas senyuman malas.
Sungguh gadis tidak faham mengapa si tukang kasut bersikap begitu.
Cuba menjadi mesra dengannya.






Malang nasib si gadis.
Sepatu nya rosak tatkala berjalan.
Dia teringat akan tukang kasut.
Lantas cuba mendapatkan bantuannya.





Sekali lagi si gadis bernasib malang.
Tukang kasut tidak membuka gerai, tidak berbisnes seperti selalunya.
Hampa.
Dicampaknya saja sepatu rosak itu!





Esoknya si gadis melewati jalan yang sama.
Hatinya tercuit.
Tukang kasut masih tidak berniaga.
Tiada lagi senyuman dari wajahnya.
Tiada lagi sapaan mesra.








Si gadis menerima sebuah bungkusan daripada temannya.
Sebuah bungkusan misteri dari pengirim yang aneh, kata temannya.
Si gadis teruja lalu membuka bungkusan.
Dilihatnya sepasang sepatu diletak elok.
Ya, sepatu.
Sepatu yang dicampaknya semalam
kerana telah rosak sehingga menyusahkannya.
Si gadis menundukkan wajah.
Rasa sesal menguasai jiwa.






Tukang Kasut
Hatinya menangis.
Dia telah berjaya menyentuh sepatu si gadis.
Dibelek, ditenung lama sehingga puas.
Namun hatinya juga berbangga.
Dia sudah tahu titik noktah kisahnya,
siapa dia di mata si gadis.
Sama saja seperti sepatu rosak, yang dicampak di tepian longkang!





p/s : Orang Melayu kaya dengan bahasa kias. Kalau kau tak faham, tak apa. Tapi terima kasih kerana membaca =)











































No comments:

Post a Comment

nak komen? silalah. terima kasih daun keladi, senang-senang komen lagi:)